Bidang Kuasa Tribunal

Tribunal mempunyai bidang kuasa mendengar –

  1. tuntutan untuk tebus rugi bagi pembelian barang dan perkhidmatan yang dibenarkan di bawah Akta 599;
  2. tuntutan yang jumlah amaunnya tidak melebihi RM50,000.00; dan
  3. tuntutan yang terakru dalam masa tiga tahun dari tuntutan itu.

Siapa Pengguna?

  1. Pengguna bermaksud seseorang individu yang memperoleh atau menggunakan atau membeli barang atau perkhidmatan yang lazimnya untuk kegunaan atau penggunaan diri, rumahtangga atau isi rumah.
  2. Individu yang membeli, menggunakan atau memperoleh barang atau perkhidmatan bagi tujuan perniagaan atau dibeli atas nama syarikat adalah bukan seorang pengguna.

 

Pembatasan Bidang Kuasa

TTPM tiada bidang kuasa untuk mendengar apa-apa tuntutan:

  1. berbangkit daripada kecederaan diri atau kematian;
  2. bagi mendapatkan kembali tanah atau apa-apa estet atau kepentingan mengenai tanah;
  3. pertikaian mengenai hakmilik kepada mana-mana tanah atau estet atau kepentingan mengenai tanah;
  4. pertikaian mengenai hak mana-mana orang di bawah suatu wasiat atau peruntukan, atau disebabkan kematian tidak berwasiat (termasuk kematian tidak berwasiat separa);
  5. perkhidmatan ahli profesional yang dikawal selia oleh mana-mana undang-undang bertulis;
  6. perkhidmatan jagaan kesihatan;
  7. perkhidmatan penerbangan; dan
  8. pertikaian berkaitan dengan hal-hal –
    1. francais;
    2. nama baik;
    3. rahsia perdagangan atau harta intelek lain; dan
    4. apa-apa hak dalam tindakan atau apabila mana-mana Tribunal telah ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain untuk mendengar dan memutuskan tuntutan berkaitan dengan perkara yang menjadi hal perkara tuntutan itu.