Prosedur Pemfailan

Prosedur Pemfailan Dan Pendaftaran Tuntutan Di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM)

Secara ringkasnya, prosedur pemfailan dan pendaftaran tuntutan adalah seperti yang berikut:

  1. Tuntutan hendaklah dibuat menggunakan Pernyataan Tuntutan (Borang 1), yang boleh diperolehi secara percuma di Pejabat Pendaftaran Tribunal yang terdekat atau boleh dimuat turun dari laman sesawang https://ttpm.kpdn.gov.my;

  2. Pihak Yang Menuntut (PYM) hendaklah mengisi 4 salinan Borang 1 dan kemudian memfailkannya di Pejabat Pendaftaran Tribunal yang terdekat dengan bayaran fi pemfailan sebanyak RM5.00 dan resit rasmi akan dikeluarkan kepada PYM;

  3. Borang 1 akan diproses oleh Pegawai Tribunal dan 2 salinan akan dikembalikan kepada PYM. Satu salinan untuk simpanan PYM dan satu salinan lagi untuk diserahkan oleh PYM kepada Penentang;

  4. Penyerahan Borang 1 kepada Penentang boleh dibuat sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Peraturan 15, Peraturan-Peraturan Pelindungan Pengguna (Tribunal Tuntutan Pengguna) 1999. Sekiranya penyerahan dibuat secara serahan elektronik melalui emel, maka PYM hendaklah membuat penyerahan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Tatacara Tribunal Tuntutan Pengguna (Penyampaian Notis atau Dokumen Secara Komunikasi Elektronik) 2024;

  5. Penentang yang menerima Borang 1 hendaklah memfailkan Pernyataan Pembelaan Dan Tuntutan Balas (Borang 2). Borang 2 boleh diperolehi secara percuma di Pejabat Pendaftaran Tribunal yang terdekat dengan bayaran fi pemfailan sebanyak RM5.00 dan resit rasmi akan dikeluarkan kepada Penentang atau boleh dimuat turun dari laman sesawang https://ttpm.kpdn.gov.my;

  6. Penentang hendaklah memfailkan Borang 2 dalam 4 salinan di Pejabat Pendaftaran Tribunal yang sama di mana Borang 1 difailkan. Borang 2 hendaklah difailkan dalam masa 14 hari selepas penyerahan Borang 1 oleh PYM;

  7. Borang 2 akan diproses oleh Pegawai Tribunal dan 2 salinan akan dikembalikan kepada Penentang. Satu salinan untuk simpanan Penentang dan satu salinan lagi untuk diserahkan oleh Penentang kepada PYM;

  8. Jika terdapat suatu tuntutan balas, PYM hendaklah memfailkan suatu pembelaan atau jawapan kepada tuntutan balas itu dalam Pembelaan Kepada Tuntutan Balas (Borang 3). Borang 3 boleh didapati secara percuma daripada Pejabat Pendaftaran Tribunal atau boleh dimuat turun dari laman sesawang https://ttpm.kpdn.gov.my;

  9. PYM hendaklah memfailkan Borang 3 dalam 4 salinan di Pejabat Pendaftaran Tribunal yang sama di mana Borang 1 dan Borang 2 difailkan; dan

  10. Borang 3 akan diproses oleh Pegawai Tribunal dan 2 salinan akan dikembalikan kepada PYM. Satu salinan untuk simpanan PYM dan satu salinan lagi untuk diserahkan oleh PYM kepada Penentang.

Nota: Pemfailan borang-borang tersebut juga boleh dilakukan secara dalam talian di laman sesawang https://ttpm.kpdn.gov.my